Saturday, January 24, 2009

KONSEP PERLEMBAGAAN

MAKNA DAN PERANAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan undang-undang dasar yang dianggap penting untuk melicinkan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Perlembagaan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.
Perlembagaan juga mengandungi prinsip yang membentuk institusi-institusi negara seperti eksekutif, perundangan dan kehakiman dengan menyatakan kuasa dan peranan setiap institusi tersebut dalam kerangka pemerintahan dan penradbiran sesebuah negara.Perlembagaan digubal untuk menjadi garis panduan tentang corak pemerintahan sistem politik dan pentadbiran sesebuah negara, di samping memberi jaminan perlindungan kepada rakyat. Perlembagaan juga menyatakan tanggungjawab dan kewajipan setiap warganegara terhadap pemerintah dan negara.

KONSEP KETINGGIAN PERLEMBAGAAN
Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi tunggak semua undang-undang, sama ada yang sedia ada atau yang bakal digubal. Semua undang-undang yang digubal tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Jika wujud percanggahan, undang-undang berkenaan dianggap terbatal setakat bahagian yang bercanggah tersebut. Kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi amat penting bagi sesebuah negara yang mengamalkan Sistem Persekutuan seperti Malaysia. Ini memudahkan Kerajaan Persekutuan menjalankan kuasa pemerintahan dan pentadbiran dengan licin, tanpa terpaksa bersaing dengan pihak-pihak lain terutama kerajaan negeri.Seiring dengan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, parlimen memperolehi kuasanya daripada perlembagaan. Parlimen mempunyai kuasa yang terhad dan tidak boleh membuat undang-undang untuk perkara-perkara yang terletak di luar bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya. Makhamah mempunyai kuasa untuk membatalkan sesuatu undang-undang yang diluluskan oleh parlimen jika undang-undang tersebut berada di luar bidang kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna makhamah juga tertakluk kepada kehendak Perlembagaan Persekutuan. Walaupun yang Dipertuan Agong menjadi Ketua Negara, baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Baginda tidak boleh bertindak sesuka hati tetapi perlu menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya dalam Perlembagaan.
Oleh itu, tidak ada institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan. Kuasa tertinggi Perlembagaan ini dikenali sebagai ketinggian perlembagaan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment