Friday, January 23, 2009

WAJ3106 HUBUNGAN ETNIK

SINOPSIS KURSUS
Kursus ini memfokuskan perbincangan tentang konsep-konsep asas budaya dan hubungan etnik serta meneliti perkembangan hubungan etnik di Malaysia. Hasratnya adalah mewujudkan masyarakat Malaysia menurut acuan Malaysia. Adalah diharapkan pelajar dapat memahami dan menangani cabaran global dalam hubungan budaya dan etnik di peringkat Malaysia dan Asia. Kursus ini juga memperkenalkan para pelajar terhadap hubungan etnik menurut perspektif Islam.

(This course focuses on basic concepts of culture and an ethnic relation with special attention to the latter’s development in Malaysia. Its main aim is to bring about a specially-moulded Malaysian society. It is hoped that students will have a good understanding of the concept and develop ideas to tackle global challenges in cultural and ethnic relationships at national and Asian levels. This course also introduces students about ethnic relations from Islamic perspective.)


TAJUK 2: KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

Memperkenalkan konsep-konsep hubungan etnik yang merangkumi konsep budaya, masyarakat dan Perpaduan & Integrasi.

TAJUK 3: PLURALITI MASYARAKAT ALAM MELAYU DALAM SEJARAH
Pluraliti masyarakat Alam Melayu Dalam Sejarah, bentuk dan struktur masyarakat.
a. Kemunculan Melaka dan masyarakat pluralistik
b. Peranan Perlak, Pasai, Aceh, Johor, Riau, dll.(Perhubungan dagangan, perkahwinan, perkampungan)
c. Asimilasi golongan pendatang
d. Kuliah akan membincangkan beberapa konsep utama yang akan menjadi alat analisis terhadap realiti budaya dan hubungan etnik di Malaysia. Konsep utama adalah konsep sistem sosial, yang mengandungi tiga komponen utama iaitu, masyarakat, budaya dan individu
e. Sebelum bertapaknya penjajahan Eropah di rantau Nusantara, tidak wujud negara-bangsa seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand yang mempunyai sempadan geo-fizikal masing-masing. Ketika itu sistem sosial rantau Nusantara bercirikan unsur polity dan plurality . Kuliah ini membincangkan bentuk-bentuk masyarakat, budaya dan individu dalam konteks sistem sosial pra-penjajahan ini.
f. Kuliah ini membincangkan kepelbagaian bentuk masyarakat, budaya dan individu dalam konteks sistem sosial pasca-penjajahan ini.

TAJUK 4: PERLEMBAGAAN MALAYSIA DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
Perlembagaan Malaysia telah dianggap bukan sahaja sebagai institusi tunjang bahkan sebagai suatu ‘kontrak sosial’ yang menstrukturkan sistem sosial Malaysia. Proses penggubalan dan penerimaannya penuh dengan perundingan, perdebatan dan tolak-ansur antara kelompok etnik di Malaysia. Sebahagian daripada perlaksanaannya masih diperkatakan dari segi legitimasi politiknya. Kuliah ini membincangkan sejarah penggubalan, perundingan dan perlaksanaan Perlembagaan Malaysia serta beberapa masalah yang terkait dengan hubungan etnik dan penyelesaian yang dicapai.


TAJUK 5: PEMBANGUNAN EKONOMI DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
Modenisasi, umumnya mengandungi dua aspek utama iaitu pembangunan ekonomi dan pembinaan negara-bangsa. Sasaran pelaksanaan dan pencapaian dalam kedua aspek ini berbeza tetapi saling melengkapi kerana pembangunan ekonomi mengidamkan sebuah masyarakat industrial dan pembinaan negara-bangsa mengidamkan suatu bangsa yang bersatu padu. Kuliah ini membincangkan sejarah pembangunan ekonomi Malaysia daripada zaman penjajahan hingga sekarang, yang memperlihatkan bagaimana isu hubungan etnik tersulam dalam isu dan dasar pembangunan ekonomi seperti perlaksanaan dasar Ekonomi Baru.

TAJUK 6: CABARAN TERHADAP HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA DAN GLOBAL
a. Acuan untuk membina rakyat Malaysia yang mempunyai towering personality(personaliti unggul); agama,bahasa, nilai murni.
b. Cabaran Inter-Intra Hubungan Etnik
c. Implikasi apabila hubungan etnik kurang sempurna,contoh :
- peristiwa 13 Mei 1969
- peristiwa kampung Medan
d. Kaedah penghayatan : Islam sebagai penyelesaian

TAJUK 7: PEMBANGUNAN POLITIK DALAM KONTEKS HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
Modenisasi, umumnya mengandungi dua aspek utama iaitu pembangunan ekonomi dan pembinaan negara-bangsa. Sasaran perlaksanaan dan pencapaian dalam kedua-dua aspek ini berbeza tetapi saling melengkapi kerana pembangunan ekonomi mengidamkan sebuah masyarakat industrial dan pembinaan negara-bangsa mengidamkan suatu bangsa yang bersatu-padu. Kuliah ini membincangkan secara khusus proses pembinaan negari-negari di Malaysia yang beputik pada zaman penjajahan dan mekar hingga sekarang, yang memperlihatkan bagaimana isu hubungan etnik senantiasa menjadi topik perbincangan. Kuliah ini turut membincangkan beberapa usaha konkrit ke arah mencapai cita-cita perpaduan nasional seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Wawasan 2020. Setiap dasar ini menghadapi beberapa cabaran dalam pelaksanaannya dan hal ini akan turut dikupas dalam kuliah.

TAJUK 8: ISLAM HADHARI DAN HUBUNGAN ETNIK
Islam yang bertapak sejak sekian lama di Alam Melayu telah menjadi sumber rujukan utama dalam aspek sosial, ekonomi, budaya dan politik. Hal tersebut terbukti dengan termaktubnya Islam sebagai agama rasmi dan sumber kepada perundangan, seperti tercatat dalam Hukum Kanun Melaka dan Hukum Kanun Pahang. Kini Islam mendapat tempat di dalam Perlembagaan Malaysia dan masih menjadi isu dalam konteks kehidupan sosial, budaya dan politik Malaysia. Kuliah ini akan membincangkan kedudukan Islam Hadhari dalam realiti budaya dan kehidupan etnik di Malaysia, dalam konteks rentas waktu yang berbeza, iaitu zaman pra-penjajahan, penjajahan, dan pasca-penjajahan.

TAJUK 9: HUBUNGAN ETNIK KE ARAH MASYARAKAT BERINTEGRASI

Pengalaman penjajahan telah memperkenalkan suatu bentuk ilmu, iaitu ‘ilmu kolonial’ yang telah mencipta himpunan maklumat dan analisis mengenai etnisiti, kelas dan wilayah di Malaysia untuk kegunaan pentadbiran berkesan pemerintahan British. Kategori seperti etnisiti, kelas dan wilayah telah dijadikan asas kepada pembentukan pelbagai dasar seperti dasar ekonomi, politik, dan pendidikan. Pelaksanaannya telah menimbulkan pelbagai masalah yang masih dirasakan kesannya hingga sekarang kerana sebahagian besarnya telah dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia. Kuliah ini membincangkan pembentukan kelompok etnik dan hubungan antara kelompok serta masalah yang timbul daripada interaksi antara etnik. Kuliah ini juga memperkatakan tentang pengaruh kelas sosial dalam dinamik sistem sosial di Malaysia, seperti pembentukan kelas menengah. Dari segi ruang fizikal, dengan wujudnya konsep seperti “Pantai
Timur” dan “Pantai Barat” atau “Malaysia Timur” dan “Malaysia Barat” telah mempengaruhi agihan ekonomi, proses politik dan hubungan antara kelompok etnik. Tema ini juga akan dibincangkan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment